Monday, June 5, 2017

Manfaat Menderma


Pada era globalisasi kini, semakin ramai masyarakat yang mengamalkan nilai murni seperti menderma  atau atas dasar kata lain iaitu bersedekah dan juga boleh dinyatakan sebagai memberi sumbangan dalam bentuk wang. Derma dapat ditakrifkan sebagai sumbangan ikhlas daripada seseorang untuk diberikan kepada seseorang yang lain. Terdapat beberapa manfaat yang dapat diperolehi apabila menderma.

Antaranya ialah, meringankan beban kehidupan. Ia bermaksud sekiranya terdapat beberapa individu mengamalkan sikap terpuji ini, sudah pasti mereka dapat mengurangkan bebanan seseorang yang hidup dalam kesempitan akibat ketiadaan wang untuk menyara hidup sendiri. Lebih-lebih lagi, terdapat juga golongan dewasa yang berstatus berkahwin kini hidup dalam kesusahan kerana kos sara hidup yang semakin meningkat. Dengan cara menderma, masyarakat seperti ini dapat diringankan beban mereka di samping melakukan amal jariah.

Selain itu, masyarakat juga dapat mengelakkan masalah sosial. Hal ini demikian kerana, semakin ramai masyarakat khususnya golongan remaja dan dewasa yang suka menghabiskan wang dengan perkara  mahu pun benda yang sia-sia dan merugikan seperti membeli rokok, berjudi atau kata lain menghabiskan wang dengan aktiviti haram dan sebagainya. Maka, dengan cara menderma, golongan sedemikian dapat membendung masalah sosial yang giat berlaku pada zaman kini seperti kemiskinan individu atau kelompok serta masalah sosial tentang pengangguran.

Seterusnya, dapat mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat. Hal ini dapat ditegaskan kepada setiap masyarakat tidak kira golongan sama ada tua mahu pun muda untuk menderma. Sekiranya setiap masyarakat mengamalkan nilai murni ini, sudah pasti dapat mewujudkan keharmonian dan kedamaian dalam kalangan masyarakat. Tambahan pula, negara kita yang terdiri daripada etnik yang berbeza pasti akan menjadikan masyarakat hidup dalam keadaan bersatu padu serta bertoleransi sesama kaum. Persis kata mutiara, “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Aktiviti menderma ini tidak perlu dinilai dari pelbagai sudut seperti perbezaan umur, fizikal mahu pun mental serta bangsa dan budaya.

Di samping itu, menderma juga dapat melahirkan masyarakat yang prihatin. Menderma merupakan sikap tolong-menolong secara ikhlas kepada individu lain, maka jelaslah bahawa ianya dapat membantu melahirkan masyarakat yang bersikap prihatin di samping mewujudkan perasaan sayang akan masyarakat serta mampu menerapkan beberapa nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kata-kata yang sering diwar-warkan oleh setiap masyarakat iaitu “tangan yang memberi lebih mulia berbanding tangan yang menerima” jelas membuktikan bahawa seseorang yang menghulurkan bantuan atau pun menderma adalah lebih baik berbanding yang menerima bantuan.

           Sebagai penghias bicara akhir, jelaslah bahawa sikap terpuji ini perlu diterapkan dalam diri setiap individu. Sesungguhnya, seseorang yang melakukan kebaikan pasti akan diingati sampai bila-bila. Bak kata cendikiawan, "hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga".

No comments:

Post a Comment

All Rights Reserved 2017 ( SITI FILZAHTUL )